Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my
BEGINIKAH wajah, sikap dan penampilan anak-anak muda Kelantan? Asrulfaizal dalam satu babak filem Budak Kelantan.
TERPERAP dan tertangguh selama lebih dua tahun bukan persoalan utama yang harus diperdebatkan kerana banyak juga filem lain yang bertapa sehingga bertahun-tahun sebelum dibawa ke layar perak.
Apa yang menjadi tarikan tentang filem ini pastinya istilah Budak Kelantan yang digunapakai menjadi judulnya menggantikan judul asal yang berakar-umbi di perdu jiwa sang sutradaranya, Wan Azli Wan Jusoh iaitu Koya Best.
Dalam dialek Kelantan, Azli sebenarnya 'tok sejoin' (kurang berpuas hati) dengan pilihan yang dibuat pihak penerbit, Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) menerusi anak syarikat, Altenate Studio yang mahukan judul, Budak Kelantan.
NASKHAH yang diolah secara bersahaja menjadi daya tarikan.
Alasan Wan Azli, dia bimbang judul Budak Kelantan akan membenihkan prasangka yang tidak enak kerana judul sedemikian seperti merumuskan setiap visual ciptaan ke kanvas filem sulungnya itu akan dilihat seratus peratus menterjemahkan perilaku masyarakat dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
"Tetapi ini filem, bila dah namanya filem, ia bukan lagi satu realiti walaupun asalnya idea filem ini dikutip daripada pengalaman dan cerita-cerita orang di sekeliling saya. Saya membesar dalam lingkungan masyarakat Kelantan dan budak-budak Kelantan. Jadi saya tahu dan faham cara hidup mereka.
"Kalau orang Kelantan akan marah nanti, saya faham kerana latar filem ini memang begitu, ia berkisar tentang konflik sosial segelintir generasi muda anak Kelantan yang tinggal di Kuala Lumpur (KL).
"Bukan semuanya tentang kejahatan, saya tetapkan masukkan sifat baik. Jadi ia seimbang kerana dalam setiap masyarakat, ada yang jahat dan ada yang baik.
"Bila penerbit nak tukar judulnya kepada KB - KL - Amerika, saya boleh terima kerana bunyinya seakan-akan kena dengan apa yang cuba saya sampaikan, tapi bila letak Budak Kelantan, alamak, saya jadi risau sikit.
"Saya lebih suka Koya Best kerana memang saya nak sampaikan 'koya best' yang difahami di kalangan masyarakat Kelantan sebagai mereka-mereka dalam yang keadaan atau kondisi minda yang tertawan (berangan)," tegas Azli yang pertama kali bergelar pengarah filem menerusi Budak Kelantan.
TIGA pendukung watak utama Budak Kelantan, Danny, Bienda dan Asrulfaizal.
Hatinya sedikit berat tetapi rasional dengan pendekatan penerbit yang mahu filem pertamanya ini mudah sampai dan meresap ke mata hati peminat filem, Azli menerima strategi komersial ini dengan fikiran terbuka.
Sebagai penerbit, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn. Bhd., Ahmad Puad Onah pula tidak membantah kiranya Azli masih tebal dengan prinsipnya mahu filem digelar Koya Best.
"Kami tiada masalah tapi sebagai penerbit kami ambil Koya Best sebagai working title (judul semasa dalam pembikinan). Bila dah siap kami fikir tajuk itu agak sukar untuk difahami oleh audiens.
"Selepas perbincangan, tercetuslah KB - KL - Amerika, tapi terlalu meleret, sudah nak sebut. Kami bincang sekali lagi dan timbulnya Budak Kelantan. Kami fikir ia lebih tepat, lebih dekat di hati khalayak, mudah difahami dan lebih komersial," ulas Puad tentang pertukaran tajuk filem ini yang mencetuskan sedikit tanda-tanya.
Apa-apapun sebuah filem yang baik tetap akan berdiri sebagai sebuah filem yang baik walaupun tercampak ke lorong yang gelap dan tidak berpenghuni. Judul gempak yang melonjak sehingga ke langit ketujuh sekalipun tidak menjanjikan apa-apa jika pengisiannya hancur dan fokus entah ke mana-mana.
Bagi Wan Azli, baik atau buruknya filem sulung yang menjalani perjalanan yang panjang inilah yang akan terisi ke dalam profil kerjaya seninya.
"Saya menulis dan menggarap filem ini dengan idea yang berlapis-lapis, kalau penonton yang datang menonton dan nampak nilai-nilai baik dan jahat yang saya persembahkan, itu sudah cukup," jelas Azli yang banyak melampiaskan idea kreatifnya menerusi teater dan sastera sejak melanjutkan pelajaran ke Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) dan UiTM dalam bidang seni persembahan.
WAN AZLI (kiri sekali) bersama barisan karyawan Budak Kelantan (dari kiri), Ayie, Bienda, Asrulfaizal, Danny dan Md Eyzendy Md Aziz.
"Saya cuma bermain dengan ideologi sosial dan tentang semangat dan imej Amerika yang telah masuk ke dalam masyarakat dunia ketiga.
"Saya cuma ambil budak-budak Kelantan sebagai contoh. Budak-budak Kelantan yang saya kenal kalau nak pakai seluar, nak pakai jenama Levis dan banyak lagi.
"Tetapi hakikatnya filem ini membawa roh gelap lawan terang iaitu kejahatan melawan kebaikan seperti yang sering digunakan dalam teater tradisional, hukum karma," jelas Wan Azli, 33, memperincikan isi perut Budak Kelantan.
Walaupun hampir keseluruhan kondisi filem ini diuli oleh air tangan anak Kelantan, bermula daripada pengarah, skrip, dialek, penasihat skrip serta kesemua pelakon yang terlibat, filem Budak Kelantan bukan disasarkan hanya kepada orang Kelantan.
"Sasaran saya untuk seluruh dunia," kata Wan Azli berseloroh padahal dalam hati, dia mungkin sedar hanya orang Kelantan sahaja yang faham bahasa filemnya ini kalau tidak dibantu oleh sari kata bahasa Melayu yang lengkap.
Apa yang membanggakan, walaupun dibikin dalam bajet dan ruang yang sedikit memberi tekanan, awal-awal lagi filem yang bakal ke pawagam 30 Oktober ini boleh diberi pujian.
Pertama kerana cerita dan keduanya lakonan. Rata-rata yang menyaksikan Budak Kelantan akan tertawan dengan pengolahan yang disajikan secara bersahaja oleh pelakon-pelakon yang menjayakan filem ini, terutamanya Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman yang memerankan watak Jaha, Danny X-Factor (Buchek), seorang lepasan universiti dan Bienda (Che Nor).
Watak-watak lain, Md Eyzendy Md Aziz (Li Bokbong), Wan Md Zuhari Wan Harun (Peija), Muhammad Haqqam Hakiri (Meghei Cikgu) dan Hushairi Husain atau Ayie (Wak Junuh) juga secara semulajadi menggambarkan gaya dan stail hidup budak Kelantan kelas ketiga yang ada di celah-celah KL.
"Saya sendiri puas hati dengan Azrul, walaupun dia baru dan tak dikenali tapi lakonan dia bagus. Danny pula seorang pelakon yang boleh masuk ke dalam situasi yang saya mahukan, kelebihan Danny kerana dia sudah popular," luah pengarah yang pernah menghasilkan teater Ari Ni Jadi Jahat ini, jujur.
p/s: jgn lupa untuk saksikan BUDAK KELANTAN the making of di televisi anda!
|
|
---|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment